Sunday 24 June 2012

DEFINISI SELOKA..




Dari segi  istilah, seloka berasal daripada perkataan Sanskrit, seloka  iaitu sejenis puisi yang terdiri daripada dua baris atau dua kerat, yang setiap satunya mengandungi 16 suku kata, yang disusun dalam empat unit. Dalam kesusasteraan Melayu Tradisional, seloka merupakan sejenis puisi bebas dari segi rangkap (sama ada berangkap atau tidak berangkap). Jika berangkap tidak tentu barisnya dalam serangkap dan tidak tentu jumlah perkataanya dalam sebaris. Seloka juga b oleh jadi mempunyai rima atau tidak. Seloka biasanya memerlukan beberapa baris atau rangkap untuk melengkapkan keseluruhan idea (Harun Mat Piah, 1989).

            Dari segi bentuk, seloka sama sahaja seperti puisi bebas yang lain seperti gurindam, talibun atau teromba. Walaupun begitu, jika dilihat dari segi isi, puisi ini berbeza antara satu sama lain. Dari segi isi , seloka biasanya mengutarakan isinya secara mengejek, sindiran atau dalam nada jenaka, dan kadang-kadang mengandungi nada atau perasaan asyik dan khayal.

            Oleh sebab seloka biasanya digunakan untuk menyindir atau berkias, tidaklah menghairankan mengapa seloka mengandungi banyak peribahasa yang selalunya disusun dengan cara yang senada atau mempunyai irama, sehingga kadangkala seloka sama dengan peribahasa berirama.

            Seloka biasanya mengandungi bahasa yang penceritaannya meleret-leret dan lanjut, sindir giatnya selalu tajam dan bias seperti mengejek, menyindir dan menempelak, dan mengandungi perasaan yang hiba dan rawan.

No comments:

Post a Comment