Thursday 14 June 2012

DEFINISI PANTUN


Sejarah telah membuktikan betapa sesungguhnya corak hidup masyarakat dan bangsa Melayu pada zaman dahulu dicerminkan melalui puisi lama seperti pantun dan peribahasa. Za’ba di dalam bukunya bertajuk Ilmu Mengarang Melayu, mengatakan bahawa penciptaan pantun merupakan puisi tertua dan milik asal kepunyaan masyarakat Melayu. Oleh itu, umum telah menerima bahawa pantun adalah ciptaan asli orang Melayu. Ianya bukanlah adaptasi daripada puisi-puisi Jawa, India atau Cina. Ini bermakna, pantun merupakan puisi asli yang dimiliki oleh masyarakat Melayu serta paling awal muncul berbanding puisi yang lain.

             Masyarakat Melayu lama akrab dengan alam semulajadi seperti alam tumbuhan, haiwan dan cakerawala. Ini adalah disebabkan masyarakat pada masa tersebut sering berinteraksi dengan alam yang berada di sekeliling mereka sama ada di laut, di hutan, di bendang, di ladang dan di gunung. Harun Mat Piah  menjelaskan bahawa penggunaan lambang-lambang dan simbol-simbol daripada alam perlu diketahui untuk memahami maksud pantun. Lantaran itulah pantun dikaitkan dengan alam semulajadi sebagai perbandingan dan perlambangan yang berfungsi sebagai sumber pengajaran dan nasihat.

           Pantun merupakan puisi melayu yang paling popular jika berdasarkan daripada penggunaannya yang paling meluas. Puisi ini juga yang paling mendapat perhatian para pengkaji untuk diteliti, tidak kira pengkaji tempatan ataupun pengkaji luar. Pantun juga merupakan puisi melayu yang tidak diragui sifat keasliannya.                  Dalam bahasa Jawa, pantun dikenali sebagai parikan dan dalam bahasa Sunda dikenali sebagai paparikan. Lazimnya pantun terdiri atas empat larik (atau empat baris bila dituliskan), bersajak akhir dengan pola a-b-a-b (tidak boleh a-a-a-a, a-a-b-b, atau a-b-b-a). Pantun pada mulanya merupakan sastera lisan dan sekarang telah dapat dijumpai pantun yang bertulis hasil nukilan atau karya seseorang.

            Harun Mat Piah telah memberikan definisi pantun berdasarkan aspek dalaman dan luaran atau struktur visualnya. Aspek dalaman pantun meliputi unsur estetika dan isi (tema dan persoalan). Unsur estetika pantun dapat dilihat berdasarkan dua aspek. Pertama, yang berkaitan penggunaan lambang-lambang tertentu yang terdapat dalam pantun mengikut tanggapan dan pandangan dunia masyarakat Melayu, dan yang kedua, berdasarkan hubungan makna antara pasangan pembayang dengan pembayang maksud sama ada secara konkrit atau abstrak.

            Berdasarkan pada aspek isi (tema dan persoalan) pantun biasanya menyentuh hampirseluruh kehidupan masyarakat melayu. Daripada penelitian terhadap isi juga telah membawa kepada pengelompokkan pantun yang lebih sistemetik. (Harun Mat Piah, 1989:63), seperti pantun kanak- kanak, pantun cinta dan kasih sayang, telatah dan cara hidup masyarakat, pantun teka- teki, pantun puji-pujian atau sambutan, pantun nasihat dan pendidikan, pantun agama dan kepercayaan, pantun adat, pantun peribahasa, pantun naratif atau cerita dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment