Thursday 9 August 2012

ANALISIS SELOKA PANDAI PAK PANDIR..


Anak dipijak dagang dijinjing
kucing dibunuh tikus dibela
harta habis bawaan tergadai
mendengar gelagat dagang
tak sedar bertelanjang
mendengar guruh di langit
air di tempayan di curahkan
mulut kena suap pisang
buntut kena cangkuk onak
gunting makan di hujung
Pak Pandir juga menanggung
Apa didengar gelagat dagang
Gelagat rambutan jantan
Orang berbunga, dia berbunga
Orang berbuah dia haram
Kilat memancar hujan tak jadi
Awak juga kecundangan



Maksud seloka :


Pak Pandir merupakan seorang yang mementingkan orang luar berbanding ahli keluarganya sendiri. Dia juga seorang yang menjaga orang yang menjaga orang yang mendatangkan kemudaratan sehinggakan hartanya habis serta bawaannya tergadai. Pak Pandir terlalu mendengar kata-kata pendatang sehingga tidak sedar dirinya ditipu. Pak Pandir mendengar cerita yang tidak pasti akan kesahihannya lagi tetapi sudah menghabiskan harta yang ada. Si dagang menyuap makanan tetapi pada masa yang sama melakukan kejahatan dengan berpura-pura baik. Segala akibat buruk,Pak Pandir juga yang menanggung. Tidak berguna mendengar kata-kata orang luar kerana kata-kata mereka tidak boleh dipercayai. Akhirnya Pak Pandir juga yang kerugian.







CITRA WATAK..


            Latar belakang watak ikan Terubuk dan Puteri puyu-puyu

Fakta
Ikan Terubuk
Puteri Puyu-puyu
 Asal
Air masin
Air tawar
Gelaran
Raja seripada
Puteri puyu-puyu
Pemerintah
Melaka
Tanjung padang

NILAI..


Nilai kemanusiaan:

            i.          Nilai kasih sayang
            ii.         Keberanian
            iii.        Kegigihan
            iv.        Keyakinan


Nilai kemasyarakatan
           
            i.          Kerjasama
            ii.         Kesetiaan kepada pemerintah


Nilai kepercayaan

            i.          Kepercayaan tentang ikan terubuk adalah ikan yang memiliki roh jahat.
            ii.         Kepercayaan terhadap kejadian luar biasa



Nilai Keagamaan

            i.          Memuliakan Tuhan sebagai pentadbir alam
            ii.         Limpahan rahmat untuk semua makhluk.       

ASPEK PEMIKIRAN RAKYAT..


1.         Perbezaan darjat/keturunan

Boleh membawa kegagalan dalam percintaan sebagaimana yang berlaku ke atas ikan terubuk yang gagal memiliki cinta puteri puyu-puyu kerana berbeza dari segi darjat, ini kerana ikan terubuk berasal dari kerajaan laut manakala puteri puyu-puyu dari kerajaan air tawar.

2.         Keagungan tuhan    

Dalam sebarang urusan yang hendak dilakukan , keizinan dari tuhan hendaklah dipohon    bagi memudahkan sebarang kerja yang hendak dilakukan. Sebagaimana yang dilakukan oleh Puteri puyu-puyu yang bermohon dari tuhan untuk memudahkan urusannya menolak   ikan terubuk.

3.         Konsep daulat.

Daulat merupakan kekuasaan yang dimiliki oleh seseorang pemerintah atau raja yang mana akan membolehkan seseorang pemerintah atau raja yang berdaulat dapat apa yang dihajatinya. terbukti apabila Puteri Puyu-puyu mendapat apa yang dihajatinya iaitu tumbuhnya pokok pulai yang digunakan untuk menghilangkan diri.

4.         Kejadian luar biasa.

Kejadian aneh yang berlaku yang dikaitkan dengan kedaulatan seseorang pemerintah .  Pemerintah atau raja yang berdaulat sering akan berlakunya kejadian aneh. Dalam syair  ikan terubuk kejadian aneh yang berlaku ialah ribut, kilat dan petir sabung-menyabung menandakan kedaulatan seseorang raja.

TEMA DAN PERSOALAN ..


Tema:
            Bertemakan kegagalan dalam percintaan berpunca dari perbezaan status .



 Persoalan:

·         Persoalan percintaan .
Percintaan yang melibatkan perbezaan status / darjat yang membawa kepada kegagalan dalam percintaan tersebut.
Contohnya,Percintaan yang melibatkan ikan terubuk yang berasal dari kerajaan air masin dengan puteri ikan puyu-puyu dari kerajaan air tawar.


·         Persoalan Pengharapan pada yang Esa./Doa
 Segala harapan hendaklah disandarkan kepada yang Maha Esa,
Contohnya, Puteri ikan puyu-puyu berdoa kepada Allah  agar dia tidak dipertemukan dengan Ikan teubuk.


·         Persoalan tentang kerinduan
Kerinduan terhadap kekasih yang jauh terpisah hingga menyebabkan perasaan jadi resah dan gelisah.
 Contohnya,Ikan Terubuk yang sentiasa terkenangkan puteri ikan puyu-puyu sehingga menyebabkannya sedih dan gelisah.


·         Persoalan tentang kedaulatan. (keluarga raja)
 Keturunan diraja mempunyai kedaulatan mereka yang tersendiri.
Contohnya,Puteri ikan puyu-puyu berkata jika dia dari keturunan yang berdaulat barang diminta barang jadi. Terbukti apabila dia meminta agar tidak dipertemukan dengan ikan terubuk, maka berlaku perkara aneh pokok pulai muncul di tengah kolah dan akhirnya dia melompat ke atas pucuk pokok pulai dan akhirnya hilang.


·         Persoalan tentang kejadian luar biasa / aneh
 Golongan bangsawan sering dikaitkan dengan kejadian luar biasa apabila berdepan dengan sesuatu keadaan.
 Contohnya apabila Tuan Puteri puyu-puyu menyeru nenek moyangnya, maka berlakulah kejadian ribut diikuti dengan kilat dan petir menunjukkan tuan puteri seorang yang berdaulat.


·         Persoalan tentang kecantikan golongan bangsawan.
Golongan bangsawan sering digambarkan memiliki wajah yang cantik , contohnya tuan puteri puyu-puyu dikatakan memiliki wajah yang cantik,
Contohnya Cantik mejelis barang lakunya.


·         Persoalan keelokkan tingkah laku golongan bangsawan
Golongan bangsawan seringkali dikatakan mempunyai ketinggian budi perkerti hingga memikat hati orang yang melihatnya.
Contohnya Tuan Puteri puyu-puyu dikatakan tingkah laku yang baik.


·         Persoalan tentang putus asa / kecewa
 Apabila berdepan dengan kegagalan dalam percintaan, perasaan putus asa dan kecewa sering menghantui diri. Contohnya ikan terubuk yang gagal dalam percintaannya dengan puteri puyu-puyu sering termenung dan berada dalam gundah gulana


NILAI ESTETIKA..


Aspek Estetika bahasa


Fakta
Penggunaan bahasa asing
Huraian
Penggunaan bahasa arab dalam syair
Contoh
Rangkap 1 baris 1-bismillah
Rangkap 1 baris 2-khalikal-alam
Rangkap 1 baris 3-rahmat
Rangkap 1 baris 4-mukmin dan islam
Rangkap 12 baris 1-Ya Ilahi


Fakta
Metafora
Huraian
Penggunan unsur abstrak dan konkrit dalam ayat
Contoh
Rangkap 20 baris 2
Rangkap 22 baris 1

Fakta
Hiperbola
Huraian
Menyatakan sesuatu secara berlebih-lebihan
Contoh
Rangkap 2 baris 3-hati dan jantung bagai serbuk
Rangkap 4 baris 1-pagi dan petang duduk bercinta
Rangkap 15 baris 4-puteri melompat ke atas pucuknya


Fakta
Personafikasi
Huraian
Sifat manusia yang diberi pada objek atau benda
Contoh
Rangkap 13 baris 2-turunlah rebut dengan segera
Rangkap 15 baris 3-sampailah waktu dengan janjinya
Rangkap 21 baris 4-bagaikan datang rasanya takut


Fakta
Simile
Huraian
Perbandingan setara yang menggunakan perkataan seperti,bak,umpama,bagai
Contoh
Rangkap 2 baris 3-hati dan jantung bagai serbuk
Rangkap 21 baris 4-bagaikan datang rasanya takut


Fakta
Kata ganda berirama
Huraian
Kata yang digandakan dengan penambahan imbuhan atau perubakan kata
Contoh
Rangkap 9 baris 1-gundah gulana tidak keruan
Rangkap 9 baris 4-siang dan malam igau-igauan
Rangkap 16 baris 3-belumlah sampai daya upaya

CIRI-CIRI SYAIR..

Fakta
Terdiri daripada empat baris serangkap
Huraian
Kesemua 24 rangkap terdiri daripada 4 baris
Contoh
Bismillah itu permulaan kalam,
Dengan nama Allah khalik al-alam,
Melimpahkan rahmat siang dan malam,
Kepada segala mukmin dan Islam.

           

Fakta
bilangan patah perkataan
Huraian
Keseluruhan syair mempunyai 3 higga 5 patah perkataan
Contoh
3 patah perkataan-rangkap 14 baris 3 :
Eloknya tidaklah ternilai

5 patah perkataan-rangkap 6 baris 2
Di dalam kolam konon tempatnya







Fakta
Bilangan suku kata
Huraian
Mempunyai suku kata antara 8 hingga 13 suku kata
Contoh
8 suku kata-rangkap 14 baris 2
Datang dari Tanjung Balai

13 suku kata-rangkap 16 baris 2
Perkataan puteri terhentilah ia



Fakta
Rima akhirnya
Huraian
Rima akhir syair ini tetap iaitu a-a-a-a
Contoh
Mula dikarang ikan terubuk,
Lalai memandang ikan di lubuk,
Hati dan jantung bagai serbuk,
Laksana kayu dimakan bubuk.

SINOPSIS..



Syair simbolik/kiasan ini menceritakan tentang ikan terubuk yang berasal dari Tanjung Tuan di laut Melaka(Kerajaan air masin laut) telah jatuh cinta pandang pertama dengan tuan puteri ikan puyu-puyu yang berasal dari Tanjung Pandang (kerajaan air tawar). Ikan terubuk yang digelar sebagai Duli Seripada sentiasa terkenang akan tuan puteri ikan puyu-puyu yang cantik rupawan dan baik tingkahlaku serta bersopan-santun.

            Namun begitu, tuan puteri ikan puyu-puyu menolak hasrat hati ikan terubuk, menyebabkan ikan terubuk pulang ke Tanjung Tuan membawa hati yang lara. Tuan Puteri puyu-puyu tidak berminat dengan ikan terubuk lalu dia berdoa kepada tuhan agar diberi jalan untuk tidak bersama dengan ikan terubuk. Lalu berlakulah peristiwa aneh, angin ribut berserta kilat dan petir sabung-menyabung dan akhirnya sebatang pokok pulai tumbuh ditengah kolah puteri puyu-puyu. Tuan puteri puyu-puyu telah melompat ke atas pucuk pokok pulai dan hilang lenyap diudara.

            Berita kehilangan puteri puyu-puyu di udara bersama dengan bala tenteranya telah disampaikan oleh ikan belida kepada ikan pari. Berita tersebut telah dipanjangkan pula kepada ikan terubuk yang digelar sebagai Duli Seripada. Apabila mendengarnya, dia berasa amat sedih kerana hasratnya untuk memiliki tuan puteri puyu-puyu tidak kesampaian.

            Ikan terubuk dan bala tenteranya terus pergi mencari di lautan luas, namun segala usahanya sia-sia sahaja kerana tuan puteri puyu-puyu sudah tiada. Ikan terubuk akhirnya mengambil keputusan untuk kembali ke tempat aslanya dengan kecewa kerana hasratnya untuk memiliki tuan puteri puyu-puyu tidak kesampaian.

MAKSUD SETIAP RANGKAP


 Rangkap 1:
Syair ini dimulakan dengan bacaan bismilah sebagai pembuka cerita dan seterusnya diikuti dengan memuji kebesaran Allah pentadbir sekalian alam semestayang sentiasa member rahmat siang dan malam kepada setiap umat Islam.

 Rangkap 2:
Syair ini menceritakan tentang ikan terubuk yang tidak menghiraukan keadaan sekeliling(kawasan pemerintahannya) kerana bersedih .

 Rangkap 3:
Sebenarnya ikan terubuk adalah ikan yang dianggap berhantu dan berasal dari laut Melaka. Ikan terubuk berada dalam kesedihan setiap waktu sehingga tidak ada keceriaan dihatinya.

 Rangkap 4:
Ikan terubuk sentiasa termenung dan bermuram dalam kesedihan kerana perasaanya resah gelisah apabila mengetahui adanya puteri yang cantik jelita.

 Rangkap 5:
Kisahnya bermula apabila ikan terubuk yang cuba memujuk rayu puteri ikan puyu-puyu, sehingga menyebabkan ikan terubuk sentiasa terkenangkannya.

 Rangkap 6:
Puteri tersebut dikenali sebagai Puteri puyu-puyu  yang tinggal di dalam sebuah kolam (air tawar) Memiliki rupa paras yang cantik, tingkah laku yang baik serta bersopan-santun.

 Rangkap 7:
Tempat tinggal sang puteri di Tanjung Padang. Pada suatu ketika ikan terubuk datang menziarahinya lalu jatuh cinta kerana kecantikan fizikal yang dimiliki oleh puteri ikan puyu-puyu.

 Rangkap 8:
Ikan terubuk mulai terkenang puteri puyu-puyu dari jauh hingga tidak terkata. Perasaannya diselubungi resah sehingga tidak keruan(tidak tentu arah jadinya)

 Rangkap 9:
Perasaan sedih kerana terkenangkan puteri puyu-puyu yang tidak menerimanya menyebabkan ikan terubuk (golongan bangsawan) pulang ke tempat asalnya di Tanjung Tuan. Siang dan malam ikan terubuk teringatkan tuan puteri.

 Rangkap 10:
Apabila menjelang waktu senja(petang) tuan puteri berdoa, sekiranya dia dari keturunan raja yang berdaulat muga Allah akan memakbulkan segala pemintaannya.

 Rangkap 11:
Upacara berdoa tersebut  dimulai dengan tuan puteri mandi berlimau membersihkan diri, seterusnya ke tempat beribadat. Tuan puteri berdoa sehingga waktu dinihari(subuh).

 Rangkap 12:
Doa tuan puteri dimulai dengan puji dan puja kepada Allah. Tuan puteri merintih akan nasib dirinya, dia juga bermohon untuk mendapat restu dari keturunannya agar doanya diperkenankan.

 Rangkap 13:
Tidak lama kemudian, suasana berubah, ribut , kilat dan petir sabung menyabung lalu turunlah nenek moyangnya dari kayangan.

 Rangkap 14:
Mereka membawa sepohon pokok pulai yang dibawa dari Tanjung Balai. Pokok pulai itu sangat cantik apabila tuan puteri menyaksikannya timbullah rasa kagum.

 Rangkap 15:
Pokok pulai itu sangat rending dengan banyak dahannya. Pokok pulai itu diletakkan ditengah-tengah kolah, apabila sampai waktu yang telah ditetapkan tuan puteri telah melompat ke atas pucuknya.

 Rangkap 16:
Dengan restu para wali (orang suci) tuan puteri tidak dapat berkata-kata, belumpun sempat berlaku apa-apa tuan puteri sudah tidak kelihatan lagi.

 Rangkap 17:
Ikan belida bersungguh-sungguh memaklumkan tentang kejadian tersebut di mana tuan puteri telah naik ke langit bersama dengan bala tenteranya.

 Rangkap 18:
Ikan pari telah datang mengadap Duli Baginda Seripada (ikan terubuk) memaklumkan tentang berita kehilangan tuan puteri puyu-puyu.


 Rangkap 19:
Ikan pari memaklumkan bahawa berita kehilangan tuan puteri naik ke udara datangnya daripada ikan belida. Dia berharap berita tersebut tidak akan menimbulkan keresahan kepada ikan terubuk. Lalu dia mempersilakan ikan terubuk ke laut Negara.

 Rangkap 20:
Apabila Raja Seripada mendengar berita tersebut dia berasa sangat sedih hingga menyebabkannya menitiskan air mata. Beliau berasa harapannya hampa kerana belum dia sempat dia bertemu tuan puteri, tuan puteri telah menghilangkan diri.

 Rangkap 21:
Ikan terubuk terus berenang ke lautan luas bersama dengan bala tenteranya, perasaannya diselubungi rasa serba salah sehingga timbul rasa takut(tidak berjumpa dengan tuan puteri) didalam hatinya .

 Rangkap 22:
Raja Seripada diselubungi rasa sedih kerana kehilangan tuan puteri yang dikasihinya. Begitulah nasib yang terpaksa dihadapinya.

 Rangkap 23:
Perasaan Raja Seripada terus dibayangi rasa sedih yang berpanjangan akibat kehilangan tuan puteri.

 Rangkap 24:
Raja Seripada kembali semula ke tempat asalnya , perasaan sedih yang teramat sangat kerana hasrat hatinya untuk mendapatkan tuan puteri tidak kesampaian perasaan sedihnya itu bersemandi di dalam kalbunya.